
Bagaimanapun, memandangkan perkembangan sekolah Menengah Aliran Kebangsaan kian pesat dan mengalami beban penempatan, Kerajaan Negeri telah memohon kepada ANZAC supaya sekolah tersebut digunakan untuk menempatkan pelajar-pelajar aliran kebangsaan yang pada masa itu berjumlah 32 orang dan sedang menggunakan bangunan lama sekolah perdagangan (“Trade School”) dengan memakai nama “Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kinabalu”. Dengan adanya bangunan ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelajaran cuba merealisasikan hasrat untuk mendirikan sebuah Sekolah Menengah Aliran Kebangsaan, sejajar dengan hasrat Kerajaan Malaysia masa itu yang ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah-sekolah. Ekoran daripada penyerahan bangunan ini kepada kerajaan negeri Sabah, maka huruf “S” kemudiannya telah ditambah pada nama bangunan itu menjadikannya sebagai “SANZAC” (akronim kepada Sabah, Australia, New Zealand Army Corps).
Dalam bulan Jun 1972 pihak Kerajaan Negeri menujukkan keperihatinan apabila sekolah ini mendapat tambahan infrastruktur melalui pembinaan 3 blok bangunan yang menyediakan kemudahan 8 bilik darjah, 3 makmal sains, 2 bilik masakan dan jahitan, dewan makan, perpustakaan, kantin dan asrama yang boleh menempatkan kira-kira 128 orang penghuni. Malangnya , infrastruktur yang dijadualkan siap pada bulan Ogos, 1973 ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1974. Sedangkan bilangan pelajar terus bertambah dan tidak dapat ditampung oleh infrastruktur sedia ada.
Setakat tahun 1973 sahaja, bilangan pelajar sekolah ini telah menjangkau jumlah 680 orang. Tiga buah kelas tingkatan 4 juga mula dirintis. Pertambahan bilangan pelajar tahun berikutnya membuatkan 15 bilik darjah masih tidak dapat menampung bilangan pelajar yang ada. Oleh itu, sejumlah 10 buah kelas tingkatan 1 dan 2 terpaksa ditumpangkan di SRK Tanjung Aru.
Kumpulan sulung sekolah SANZAC telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1971 dengan jumlah 77 orang calon. Selain itu, tanggal 30 Mei 1974, turut menjadi tarikh keramat buat sekolah ini apabila dikunjungi oleh Ketua Menteri Sabah pada masa itu iaitu Y.A.B. Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun untuk merasmikan sekolah ini. Bermula dari saat itu, sekolah diberi nama S.M.K. Sanzac dan beroperasi sebagai sekolah harian biasa.

Kini walaupun S.M.K. Sanzac masih mempunyai keluasan yang sama, tiada penambahan bangunan, tetapi S.M.K. Sanzac telah menampakkan suatu perubahan ketara pada wajahnya. Dengan perubahan pada pagar pintu masuk, kerja-kerja lanskap dan alam sekitar yang intensif seperti pembinaan kolam serta taman-taman kecil, pembinaan astaka mini di padang sekolah, makmal komputer, bilik pejabat yang baru, pembesaran bilik guru dan Projek Kitar Semula Kumbahan Air Toyota Eco-Youth, S.M.K. Sanzac mula menampakkan diri sebagai salah sebuah sekolah yang indah. Kemudahan lain dinaik taraf dan dilengkapi dengan peralatan baru agar S.M.K Sanzac lebih kondusif untuk pengajaran & pembelajaran di samping tempat bertugas yang ceria dan selesa. Sehingga saat ini, Sekolah Menengah Kebangsaan SANZAC telah dapat berdiri megah sebagai salah satu lambang ilmu yang terunggul di Negeri Sabah.
No comments:
Post a Comment